PUTRAJAYA: Seramai 1,214 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan Ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan media hariannya, Ahli Parlimen Bera itu berkata, daripada jumlah berkenaan, 1,107 individu dikompaun manakala 107 lagi direman.

Antara kesalahan yang dicatatkan - 267 kes tiada penjarakan fizikal, 224 kes gagal memakai pelitup muka, 158 kes gagal merekod butiran diri / daftar masuk premis, 24 kes aktiviti pusat hiburan, serta 304 lain-lain kesalahan.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 86,714 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Semalam, 1,214 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 1,107 individu dikompaun manakala 107 lagi direman,” katanya lagi.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, 11 orang pendatang asing tanpa izin telah ditahan, manakala dua bot dan tiga kenderaan darat telah dirampas.

Berhubung kuarantin wajib, beliau berkata, 703 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam, dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, tambahnya lagi, 220,554 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel, dan 11 institut latihan awam (ILA), serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

Mengenai barang keperluan asas pula, Ismail Sabri berkata, pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.