KUALA LUMPUR: Seramai 946 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Khamis.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 924 daripadanya dikenakan kompaun manakala 22 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (237), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (186), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (160)," jelasnya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Manakala bagi kesalahan tiada penjarakan fizikal melibatkan 156 individu, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (71), membawa penumpang berlebihan (63), premis gagal patuhi arahan (14), dan lain-lain kesalahan (59) individu.

Jelasnya, sebanyak 86,055 pemeriksaan telah dijalankan oleh Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.

Ia melibatkan 4,515 pasukan pematuhan terdiri daripada 19,846 anggota.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 18 pendatang tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap pihak berkuasa dalam Operasi Benteng pada Khamis.

Turut dirampas, lima buah kenderaan darat dipercayai digunakan sindiket.