MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Keterangan pakar forensik bersambung esok

Peguam keluarga arwah, Shahlan berkata pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas kerana prosiding masih berjalan dan belum mencapai separuh peringkat. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menyaksikan keterangan saksi pakar forensik, Dr Jessie Hiu masih belum selesai dan akan disambung esok.
Peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, berkata pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas kerana prosiding masih berjalan dan belum mencapai separuh peringkat.
"Tadi kita sudah bermula dengan saksi pakar Dr Jessie, tapi soalan dan pemeriksaan masih belum habis dan akan bersambung esok pagi.
"Buat masa ini kami tidak mahu melebihi daripada pakar dan pihak AGC kerana bimbang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada mahkamah. Prosiding masih berjalan, belum selesai, baru separuh pun belum sampai 50 peratus,” katanya.Beliau berkta demikian sewaktu ditemui media di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Tambahnya lagi, terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap keterangan pakar itu memandangkan sesi soal balas masih panjang.
"Sebab itulah kami tidak mahu melebih-lebihkan kenyataan kerana kita baru di permulaan.
"Esok prosiding masih bersambung dan mungkin belum selesai dengan Dr Jessie kerana ada banyak lagi. Jadi terlalu awal untuk kita rumuskan apa yang diterangkan oleh beliau," ujarnya lagi.
Prosiding akan diteruskan pagi esok dengan sambungan keterangan Dr Jessie sebelum mahkamah memanggil saksi seterusnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami