Inspektor Sheila didakwa lagi, halang tugas anggota polis

Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.
KUALA LUMPUR: Pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menghalang tugas anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Chow Kit, di sini minggu lalu.
Ringkasan AI
- Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di Balai Polis Chow Kit minggu lalu.
- Sheila yang mengaku tidak bersalah didakwa sengaja menghalang Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh dalam menjalankan rondaan pencegahan jenayah.
- Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,600 bagi Sheila, yang turut mempunyai kes lain di Mahkamah Sesyen sejak 2023.
Dia yang memakai baju blaus dan skirt berwarna merah jambu, dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, M Manoharan yang mewakili Sheila membantah permohonan pendakwaan dengan alasan kadar itu terlalu tinggi.
Menurutnya, bapa Sheila yang juga seorang pesara polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP), hadir untuk menjaminnya.
“Dia perlu menyara tujuh anak, maka ikat jamin yang tinggi akan membebankan mereka sekeluarga.
“Buat masa ini, dia mempunyai tiga kes lain di Mahkamah Sesyen di sini dan Selayang, malah Sheila sentiasa hadir dalam prosiding kes berkenaan sejak 2023 lalu,” katanya yang memohon Sheila diberi jaminan sebanyak RM500 sahaja.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Januari tahun depan.
Minggu lalu, tular video yang dimuat naik wanita berkenaan di laman sosial mendakwa anggota polis itu mengugut seorang warga Pakistan yang penunggang motosikal. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


