Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Iskandar Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan baharu bernilai RM24.97 bilion sejak Januari tahun ini.

"Sejak Januari 2014, adalah amat menggalakkan untuk menarik perhatian bahawa Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM24.97 bilion.

"Bagi pelaburan komited sahaja, Iskandar Malaysia telah memperoleh RM156.51 bilion sejak 2006 dengan 51 peratus atau RM79.17 bilion telah direalisasikan setakat ini," kata Najib dalam entri terbarunya dalam laman Facebook malam tadi.

Beliau juga mengumumkan kelulusan rancangan Pembangunan Komprehensif 2014-2025 bagi Iskandar Malaysia.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengumuman itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Penasihat ke-16 Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), semalam.

Katanya Malaysia mengamalkan prinsip ekonomi bebas dan terbuka berdasarkan pertumbuhan pasaran dan percaya bahawa pertumbuhan pelaburan di Iskandar Malaysia adalah bukti yang menggalakkan terhadap kejayaan dasar-dasar negara.