Islam seru umat bersatu tegakkan dakwah sejagat – Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) berkenan beramah mesra dengan ilmuwan dari negara luar pada Majlis Perasmian Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara dan Majlis Ilmuwan Afrika di Kangar, pada Khamis.
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa Islam adalah agama yang menyeru umatnya untuk bekerjasama mengajak kepada kebaikan dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Baginda bertitah, usaha murni ini menuntut umat Islam bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira bangsa mahupun sempadan negara kerana gerakan dakwah Islam berkongsi satu matlamat sejagat – menegakkan kesucian tauhid, menyebarkan ilmu serta akhlak mulia, dan menyatukan umat di bawah panji keadilan serta rahmat Islam.
“Matlamat yang luhur ini berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-duanya menjadi jambatan yang menyatukan umat Islam walaupun berbeza bangsa, negara dan latar belakang mazhab.
"Dengan kesatuan ini, dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan melangkaui sempadan negara melalui kerjasama global,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025 di Kompleks Seri Putra, di sini, pada Khamis.
Keberangkatan tiba baginda disambut Mufti Perlis, Sahibus Samahah Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
Persidangan bertemakan “Ta‘awun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan” itu menghimpunkan 23 anggota Majlis Ilmuwan Nusantara dan empat anggota Nusantara–Africa Scholars Summit 2025, termasuk peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura, Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.
Antara tokoh yang hadir ialah Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya; Prof Ademi Kamil Faris dari Jawatankuasa Islam Ethiopia; Dr Ahmad Cheikhyoussef dari Pusat Islam Windhoek Namibia; dan Rufae Abdullahi dari Jabatan Zakat dan Waqf Kenya Red Cross.
Penganjuran ini bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah, menjadi platform perbincangan dan pertukaran ilmu antara ilmuwan Islam pelbagai bidang, serta mengukuhkan jaringan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dan Afrika.
Melalui usaha ini, semangat persaudaraan Islam diharap terus disemarakkan, sekali gus memperkasa misi dakwah sejagat berteraskan rahmat, keadilan dan perpaduan umat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


