Skip to main content

Malaysia

Istiadat Hari Pahlawan Negara 2026: Mengenang jasa tujuh perwira Ulu Legong

Sumber: BERNAMA
Kemuncak istiadat menyaksikan persembahan pantomim yang mengangkat kisah pengorbanan tujuh anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis di Ulu Legong pada 29 Okt 1981. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Pengorbanan tujuh perwira yang gugur dalam tragedi berdarah Ulu Legong lebih empat dekad lepas kembali dikenang menerusi Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di sini, hari ini.

Bertemakan “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan”, istiadat dinaungi Tentera Darat Malaysia (TDM) itu menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan negara sejak era darurat dan konfrontasi, selain mengingatkan bahawa keamanan tidak hadir tanpa pengorbanan yang tiada nilainya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada istiadat berkenaan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Acara dimulakan dengan tiupan “Paluan Akhir” yang menyaksikan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbol penghormatan kepada wira negara yang telah gugur.

 

Kemuncak istiadat menyaksikan persembahan pantomim “Darah Pahlawan Ulu Legong”, yang mengangkat kembali kisah pengorbanan tujuh anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Ulu Legong di Baling, Kedah pada 29 Okt 1981.

Menerusi naratif yang menyentuh emosi, kisah itu digambarkan melalui sudut pandang keluarga yang menanti kepulangan seorang anak, namun menerima jasad yang tidak lagi bernyawa, menggambarkan kedukaan sepasang ibu bapa yang kehilangan anak ketika menjalankan amanah kepada negara.

Persembahan itu disusuli bacaan sajak “Tujuh Perwira, Sebuah Tanah Air” yang mengabadikan nama tujuh perwira negara yang terkorban dalam peristiwa itu, iaitu Lans Koperal Hashim Sulaiman, Prebet Rosli Mat Nayan, Prebet Jamil Mahmud, Prebet Jamil Abdul Hamid, Prebet Md Mendeka Ismail, Prebet Mazlim Wasal dan Prebet Mohd Khambali Mohd Sodeli serta dua rakan seperjuangan mereka yang terselamat Prebet Md Said Adam dan Prebet Md Shafie Kasim.

Sajak nukilan Mejar Mohammed Ramlee Mustafa Kamal dan Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni itu mengangkat pengorbanan mereka sebagai lambang keberanian serta semangat juang yang terus diwarisi generasi hari ini.

 

Antara bait yang diperdengarkan: “Ulu Legong berdarah semalam, membajai merdeka di hari ini, Ulu Legong berdarah semalam, menyirami damai yang kita warisi.” 

Istiadat diakhiri dengan tiupan “Paluan Fajar”, yang menyaksikan Jalur Gemilang dinaikkan semula, melambangkan kesinambungan perjuangan serta semangat mempertahankan kedaulatan negara.

Perdana Menteri turut meluangkan masa menyampaikan penghargaan kepada Prebet Md Said Adam dan Pegawai Pemerintah 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) Leftenan Kolonel Hamzah Othman serta waris anggota yang terlibat dalam peristiwa Ulu Legong ,yang hadir pada istiadat bersejarah penuh nostalgia itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement