KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan masih belum dapat menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim Malaysia-Indonesia dikenali sebagai Triti Laut Sulawesi, yang ditandatangani kedua-dua negara pada 8 Jun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, dokumen-dokumen berkenaan hanya boleh didedahkan kepada umum selepas Malaysia-Indonesia menggunakan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik masing-masing.

Jelas beliau, ketika ini Indonesia belum meratifikasikan dokumen Triti Laut Sulawesi di Parlimen republik itu.

Begitu pun, Mohamad sekali menegaskan perjanjian yang ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo tidak membabitkan kawasan pertikaian dikenali sebagai Blok Ambalat.

"Dokumen  (melibatkan perolehan vaksin) yang dijelaskan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau jawatankuasa khas, ada perbezaannya. Kalau kita rujuk soal dokumen vaksin melibatkan isu-isu domestik dalam negara.

"Tetapi apabila ia melibatkan soal triti antarabangsa dan melibatkan negara-negara lain, kita kena hormati proses perundangan di negara tersebut.

"Dalam hal Indonesia, mereka perlu meratifikasikan triti yang ditandatangani itu di Parlimen Indonesia terlebih dahulu, sebelum itu kita tak boleh dirakam sewenang-wenang... kita kena jaga sensitiviti negara jiran," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad (BN-Kimanis) berkata, sebaik sahaja Kerajaan Indonesia mengesahkan perjanjian tersebut kepada Parlimen, Kerajaan Persekutuan akan membuat notifikasi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung dokumen berkenaan.

"Ini adalah semua proses yang perlu diikuti berdasarkan undang-undang antarabangsa," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar menegaskan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai Blok Ambalat di Laut Sulawesi.