KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin utama pembangkang termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu akan dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Ia berhubung penyerahan memorandum mengaitkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di Parlimen pada 20 Januari lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang mengesahkan perkara ini berkata, pejabat pemimpin-pemimpin itu telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat tadi (ketika direkodkan keterangan) yang pemimpin-pemimpin ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Namun saya tidak dimaklumkan mengenai tarikh (mereka akan dipanggil),” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan berhubung perkara sama di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Selain Fahmi, Ahli Parlimen Petaling Jaya Datuk Maria Chin Abdullah turut datang memberi keterangan hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, antara pemimpin lain turut tersenarai akan dipanggil adalah Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.