KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menggesa Perdana Menteri supaya tidak terus mendiamkan diri dalam isu membabitkan dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. 

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menangani kebimbangan yang dibangkitkan itu.

Menurutnya, tindakan beliau mendiam diri hanya menggambarkan kelemahan 'pasukannya' dalam menangani masalah berkenaan.

"Adakah Perdana Menteri komited terhadap objektif tersebut dan jika ya, bagaimanakah sikap berdiam diri beliau terhadap dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya itu menangani masalah ini?.

"Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri dalam perkara sepenting ini. SPRM berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas SPRM. Berdiam diri adalah tindakan yang menggambarkan kelemahan pihak beliau dalam menangani masalah ini," katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya di sini, pada Isnin.

BACA: Sikap berdiam diri SPRM, Azam akan jadi 'nanah' dalam organisasi

BACA: Letak SPRM di bawah Parlimen

BACA: Terence Gomez letak jawatan ahli panel SPRM

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa pernah membangkitkan isu berkenaan sebelum Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Profesor Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan pada Selasa lalu.

Gomez meletakkan jawatan selepas panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Gomez dalam surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah yang tular di media sosial berkata, keputusan itu dibuat kerana timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak berkuasa’ dan situasi konflik kepentingan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, Perdana Menteri harus bertindak dan menunjukkan bahawa integriti dan akauntabiliti adalah juga aspek penting dalam SPRM.

Beliau menjelaskan, Seksyen 2 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa matlamat utama akta tersebut adalah untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab iaitu suruhanjaya.

Katanya, Seksyen 5 selepas itu memperuntukkan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang akan bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan pengawasan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair, Ulya Aqamah Husamudin dalam kenyataan berkata, parti itu mendesak supaya Azam Baki direhatkan bagi membolehkan siasatan dakwaan salah laku terhadap beliau dibuat.