KUALA TERENGGANU : Isu kekurangan bekalan telur terus dilaporkan membelenggu masyarakat di sesetengah kawasan di negeri-negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu.

Bekalan yang tidak mencukupi itu dikatakan menjejaskan kehidupan seharian sebilangan besar mereka terutamanya kepada peniaga serta peruncit.

Mereka terpaksa beratur panjang dan lama demi untuk mendapatkan bekalan itu.

Jelas seorang pemborong di Kuala Terengganu, Nursyzanil Adha Ramli, bekalan telur akan sampai tiga kali seminggu.

“Orang ramai beratur panjang seawal jam 6.30 pagi, walaupun operasi kami jam 8.00 pagi. Kalau lewat lagi beratur panjang dan lama menunggu.

“Bekalan yang kami terima juga kurang. Seminggu kami kekurangan bekalan 10,000 papan dan kami terpaksa hadkan pembelian 5 papan setiap individu,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Selasa.

Orang ramai dilihat beratur panjang seawal 6.30 pagi untuk mendapatkan bekalan telur - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Jelas salah seorang pembeli yang juga mengusahakan perniagaan, Razak Ismail, situasi terpaksa menunggu lama dan beratur panjang ini menjejaskan kehidupan seharian dan perusahaan mereka.

“Situasi sebegini dah jadi rutin kami empat hingga lima bulan lalu. Stok akan ada tiga hari seminggu lepas itu kami tak ada bekalan telur,” katanya.

Bagi Rubiah Jusoh pula untuk kegunaan seharian juga terjejas dan dia terpaksa menempuh perjalanan selama satu jam untuk membeli bekalan telur di pusat borong itu.

“Kalau ada di kampung pun harga telur semua mahal, kami ini orang kampung, pengangkutan juga susah nak ke sini, mohon pihak berkuasa selesaikanlah isu ini,” ujarnya.

Dakwa mereka isu ini sudah berlarutan sejak berbulan lalu namun masih tiada penyelesaian.

Ada yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sekaligus menjejaskan perjalanan seharian mereka - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa bekalan makanan (seluruh negara) untuk Deepavali dan tempoh selepasnya dijamin mencukupi.

Bekalan telur ayam masih tidak cukup di Terengganu