KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.

Menerusi satu kenyataan media, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang.

Jelas beliau, kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.

BACA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak berlangsung 26 Julai ini

BACA: COVID-19 meruncing: Tangani segera masalah pelantikan doktor kontrak - Pakar


"Sebagai langkah penyelesaian segera, Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak (contract of service) untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

"Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

"Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Kabinet akan teliti isu doktor kontrak, kos diperlukan mungkin RM2 bilion - PM Muhyiddin

BACA: Doktor kontrak tidak akan hadir bertugas jika kerajaan gagal beri penjelasan

Keputusan itu dibuat hasil pembentangan kertas cadangan kepada Mesyuarat Kabinet oleh KKM pada 14 Julai lalu berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.

Jelas Muhyiddin, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

"Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

BACA: Doktor kontrak diminta bersabar, isu berbangkit akan dibawa ke Jemaah Menteri - Dr Adham

"Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal," katanya.

Ujar beliau lagi, keputusan-keputusan itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.