Isu FAM: Kerajaan tunggu laporan siasatan Md Raus sebelum langkah seterusnya - Hannah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Kabinet telah mengadakan beberapa perbincangan mengenai isu tersebut dan ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan sekali lagi menyatakan bahawa ia akan menunggu sehingga siasatan bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif selesai, sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berhubung isu pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ringkasan AI
- Kerajaan menunggu siasatan bebas oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif selesai sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung isu pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan sokongan terhadap keputusan untuk menyelesaikan siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan, sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- FAM ditugaskan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) dan setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000), serta digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak berikutan kesalahan dalam pendaftaran tujuh pemain warisan.
"Kami, pihak berkepentingan yang melaburkan dana dalam bola sepak Malaysia, jadi sudah tentu kami mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana kami boleh mengelakkan perkara ini daripada berulang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang, di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas malam ini.
Pada 21 Nov, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada sebarang usaha untuk menutup skandal melibatkan pendaftaran tujuh pemain warisan oleh FAM, sambil menyifatkannya sebagai isu besar yang mesti ditangani melalui prosedur yang betul.
FAM telah melantik Md Raus sebagai pengerusi jawatankuasa bebas untuk menyiasat isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, yang dikenakan tindakan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Pada 3 Nov, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk tersebut terhadap FAM dan tujuh pemain warisan itu atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen, di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.
Sehubungan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000). Tujuh pemain tersebut turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


