MALAYSIA
Isu maritim, IUU jadi tumpuan pertemuan Anwar, Pham Minh Chin
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh, di luar Sidang Kemuncak BRICS 2025.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai tahap kemajuan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Vietnam dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, maritim, perikanan, tenaga hijau dan petroleum.
"Saya turut membangkitkan keperluan memperkukuh kerjasama dalam menangani isu aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah (Illegal, Unreported, and Unregulated atau IUU) .
"Saya juga menzahirkan harapan agar pendekatan yang lebih konstruktif dapat dirintis demi memastikan kelestarian sumber laut serta memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan. Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap potensi pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu di selatan Vietnam, termasuk cadangan inisiatif kabel dasar laut yang berupaya memperkukuh jaringan tenaga dua hala.
Usaha ini juga kata beliau sejajar dengan aspirasi ASEAN Power Grid, iaitu infrastruktur serantau yang menyokong keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan.
"Saya menantikan pertemuan susulan bersama beliau di Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober nanti dalam usaha memperkukuh lagi hubungan strategik dan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Vietnam," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami