IPOH: Polis membuka siasatan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza berhubung kontroversi poster ‘sardin dan ayam’ melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia susulan laporan polis yang dibuat Pemuda UMNO Perak kerana didakwa berunsur fitnah dan sengaja menimbul kebencian terhadap Saarani.

Menurutnya, Fahmi dan individu lain yang terbabit dalam kes itu turut akan dipanggil untuk diambil keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar terhadap Fahmi berhubung poster memaparkan Saarani dengan kapsyen ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’.

Hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan Saarani sebelum ini berkaitan isu pemberian telefon pintar percuma kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

BACA: Isu pemberian telefon pintar percuma: Pemuda UMNO Perak buat laporan polis terhadap Fahmi Reza

Menurut Mohd Ariff, poster berkenaan memberi gambaran seolah-olah Saarani bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar itu kepada pelajar-pelajar berkenaan.

BACA: Lebih baik ada telefon pintar daripada tiada - MB Perak

Terdahulu, beberapa pihak telah mengecam usaha kerajaan negeri Perak memberi telefon pintar percuma yang disumbangkan sebuah yayasan kepada pelajar golongan B40 melalui insentif Tuisyen Cikgu Saarani.

Mereka mendakwa telefon itu berkualiti rendah walaupun telah diperjelaskan bahawa ia sesuai untuk program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).