Jabatan Kastam lepasi sasaran awal, kutip hasil RM57 bilion setakat September 2025

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin memberikan tabik hormat hadir pada Istiadat Mengarak Gencana Diraja yang berlangsung di INSPEN hari ini. - Foto Bernama
KAJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip RM57 bilion hasil negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Ringkasan AI
- JKDM kutip RM57 bilion hasil negara bagi tempoh JanuariSeptember 2025, melebihi unjuran awal RM54.62 bilion dengan pencapaian 104.36%.
- Sasaran kutipan baharu dinaikkan kepada RM73.26 bilion selepas pembentangan Belanjawan 2026, berbanding sasaran awal RM67.25 bilion; JKDM yakin capai sasaran melalui pelbagai inisiatif.
- Majlis ulang tahun ke-62 penganugerahan gelaran Diraja JKDM disambut sebagai motivasi untuk terus mengutip hasil, memudahkan perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang dengan integriti.
"Insya-Allah kita sedang bekerja keras memastikan sasaran ditetapkan kerajaan dicapai akhir tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja JKDM, di sini hari ini.
Beliau berkata sasaran awal kutipan hasil bagi tahun ini ditetapkan pada RM67.25 bilion, manakala sasaran baharu susulan pembentangan Belanjawan 2026 ialah RM73.26 bilion.
Anis Rizana berkata JKDM yakin dapat mencapai sasaran berkenaan menjelang akhir tahun ini susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang telah dirangka sejak awal tahun, berasaskan pengalaman jabatan menghadapi tekanan sasaran tinggi menjelang hujung tahun.
Sementara itu, Anis Rizana berkata penganjuran majlis ulang tahun ke-62 penganugerahan Diraja bukan sekadar untuk memperingati sejarah, tetapi juga sebagai suntikan semangat kepada warga JKDM untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
"Sambutan itu memberi motivasi untuk terus bekerja lebih keras dalam melunaskan amanah iaitu mengutip hasil negara, memudahkan fasilitasi perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang," katanya.
Penganugerahan gelaran Diraja pada 29 Okt 1963 merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap sumbangan besar Jabatan Kastam dan Eksais kepada nusa dan bangsa.
Pada era awal penubuhan Malaysia, jabatan itu menjadi tonggak utama pembangunan negara melalui kutipan hasil yang ketika itu menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil kerajaan Persekutuan setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


