KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang melaksanakan kajian mengenai pola pendapatan serta kemudahan asas iaitu elemen penting kajian semula Indeks Harga Pengguna (IHP) pada tahun depan, sekali gus memberi gambaran sebenar mengenai kadar inflasi negara.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kajian pola pendapatan tersebut akan memberi kesan kepada relatif kewajaran sesuatu barangan atau elemen dalam IHP.

"Kita akan melihat sama ada item dalam bakul barangan dan wajaran item terbabit akan meningkat atau berkurangan.

"Ini dipengaruhi oleh pendapatan dan perbelanjaan yang saling berkaitan," katanya pada sesi taklimat media hari ini bersempena Hari Statistik Negara (HSN) pada 20 Oktober ini.

Inflasi Malaysia yang diukur oleh IHP, diunjur meningkat namun kekal terkawal secara relatif antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus pada 2022 berbanding 2.5 peratus pada 2021.

Sebelum ini, kalangan pakar ekonomi menyarankan agar IHP negara dikaji semula memandangkan harga makanan terus meningkat dan indeks itu juga dikatakan tidak menggambarkan kos sara hidup sebenar.

IHP Malaysia juga dilaporkan lebih rendah berbanding India (7.04 peratus), Amerika Syarikat (8.6 peratus), United Kingdom (9.1 peratus) dan Singapura (5.6 peratus).

Menurut Laporan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah DOSM Bagi 2019, golongan berpendapatan rendah B40 memperuntuk lebih banyak daripada pendapatan mereka untuk membeli barangan makanan dan minuman berbanding kumpulan M40 pada 18 peratus dan T20 pada 12.6 peratus.

Susulan peningkatan inflasi harga makanan beberapa bulan kebelakangan ini, golongan B40 berkemungkinan telah membelanjakan lebih 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk barangan makanan sahaja.

Kumpulan M40 bagi pertengahan hingga atasan juga merupakan kumpulan pendapatan yang terdedah berikutan corak perbelanjaan mereka adalah setanding dengan B40 dari segi penggunaan makanan.

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan (2020) DOSM telah mendedahkan bahawa sekitar 20 peratus atau 580,000 isi rumah daripada kategori pendapatan M40 sebaliknya tersenarai dalam B40 pada tahun tersebut.

Dalam pada itu, mengulas acara Hari Statistik Negara, Mohd Uzir berkata ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat selain meningkatkan kepentingan statistik sebagai asas kemakmuran kehidupan bermasyarakat serta negara.

"Pada masa sama, ini memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya bagi proses pengumpulan data," katanya.

-- BERNAMA