KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menahan seorang wanita berusia lingkungan 50-an bersama anak lelakinya yang dipercayai menjual makanan kepada pemandu lori yang tidak berpuasa dekat Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata suspek ditahan semasa menjual makanan yang diletakkan di atas bonet kereta mereka pada pukul 9 pagi.

Beliau berkata perbuatan kedua-dua suspek dikesan hasil risikan selama seminggu yang lepas, dan pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 40-an yang merupakan pemandu lori, kerana membeli nasi bungkus daripada suspek.

"Kedua-dua suspek akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual makanan, manakala pembeli pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 54 kerana bersubahat mengikut enakmen yang sama," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.

Mohd Fadzuli berkata mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 enakmen yang sama kerana perbuatan tidak sopan yang bertentangan hukum syarak di tempat awam, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA