GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Kuala Krai (FT08) yang mengalami kerosakan teruk akibat cuaca buruk sepanjang musim tengkujuh ini akan dibaik pulih dengan kadar segera pada bulan ini sekiranya tidak hujan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Mohd Suhaili Ismail berkata kerja-kerja tersebut termasuk membaiki permukaan jalan terutamanya di kawasan sekitar Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh dan lencongan berdekatan tapak pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di jalan Persiaran Raya.

Menurutnya hanya kaedah tampalan sementara dapat dilakukan pihak pasukan pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan pasukan konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd untuk membaik pulih jalan yang berlubang memandangkan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Tindakan membaik pulih telah dilakukan, namun kerosakan masih berlaku disebabkan peningkatan trafik pada waktu cuti sekolah dan perayaan Krismas, selain hujan yang berterusan.

"Saya jangkakan kerja-kerja membaiki permukaan jalan (FT08) akan dapat dimulakan pada bulan ini dan kita berharap keadaan cuaca akan baik bagi memastikan kerja-kerja membaik pulih dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama Unit Projek Khas ECER 1 JKR dan Roadcare (M) Sdn Bhd di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial pengguna jalan utama Gua Musang-Kuala Krai terpaksa melalui laluan yang rosak dan berlubang hingga menyebabkan kerosakan rim serta tayar kenderaan.

Susulan itu, Mohd Suhaili berkata lebih 60 aduan diterima daripada pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan terutama di kawasan sekitar RKT Paloh dan lencongan berdekatan tapak pembinaan LTU di jalan Persiaran Raya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berharap masalah pengguna jalan terbabit dapat diselesaikan apabila kerja-kerja membaiki permukaan jalan sudah dibuat.

"Saya percaya pihak JKR tidak berdiam diri dalam hal ini, bagaimanapun sebagaimana yang disampaikan tadi mereka juga berharap cuaca memihak kepada kita.

"Sekiranya hujan masih berterusan mereka tidak dapat melaksanakan kerja-kerja itu. Mengikut jangkaan daripada pihak JKR dalam bulan Jan ini mereka akan membaiki permukaan jalan bukan lagi tampalan sementara ataupun kekal di kawasan yang berisiko dan berlubang," katanya.

--BERNAMA