IPOH: Laluan A021 Jalan Kubu Gajah-Sumpitan di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selama sembilan hari bermula Isnin, 25 September hingga 3 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan, penutupan sementara jalan tersebut adalah disebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

"Dimaklumkan bahawa jalan di laluan A021 Jalan Kubu Gajah-Sumpitan di daerah LMS ditutup kepada semua kenderaan mulai Isnin, 25 September jam 10 pagi hingga Selasa, 3 Oktober jam 11.59 malam.

"Ia disebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan itu. Pengguna jalan raya yang terbabit boleh mengikut laluan alternatif untuk ke lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan malam tadi.



Beliau menambah, laluan itu perlu ditutup kepada semua lalu lintas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Justeru katanya, papan tanda pemberitahuan telah dipasang di tapak tersebut bagi bagi panduan orang ramai yang melaluinya.