SEREMBAN: Jalan Simpang Durian-Simpang Pelangai, Bentong berhampiran Durian Tipus, Jelebu dekat sini tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat ini kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafez Ibrahim berkata laluan berkenaan yang dinaiki air kira-kira pukul 6.30 petang dengan ketinggian sehingga satu meter itu mampu menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

"Keadaan air ketika ini masih tinggi di laluan tersebut dan hanya kenderaan berat sahaja dibenarkan melalui jalan itu pada masa ini tetapi mereka perlu memandu secara berhati-hati," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kejadian banjir berlaku di kawasan itu setakat ini namun bomba masih melakukan aktiviti pemantauan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang berada di lokasi sekitar agar terus berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir di kawasan kediaman dan sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

-- BERNAMA