IPOH: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.38 petang selepas ahli keluarga menjumpai mangsa yang berumur 49 tahun tertiarap dan tidak sedarkan diri.
“Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
Polis turut menemukan sebilah pisau disyaki digunakan suspek semasa kejadian.
Heisham berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat manakala kedua-dua lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohamad Fadhil Ab Wahab melalui talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar 05-7762222 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA