NEW YORK: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini pada Rabu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-81 (UNGA 81).
Beliau disambut di lapangan terbang oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Nadzirah Osman dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Malaysia pada kira-kira 9 pagi waktu New York. Turut mengiringi beliau ialah isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Ini merupakan kali ketiga Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA sejak memegang jawatan Menteri Luar pada Disember 2023.
Sesi ke-81 yang bertemakan “Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations That Delivers for All” , memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan terhadap kerjasama global dalam mendepani perubahan besar geopolitik, teknologi, ekonomi dan alam sekitar. Debat Umum berlangsung dari 22 hingga 28 Sept.
Mohamad dijadual menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada kira-kira 4.30 petang, 26 Sept (waktu New York), dengan isu-isu utama dijangka merangkumi pengukuhan multilateralisme dan mendukung undang-undang antarabangsa, isu Palestin dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, reformasi PBB dan Majlis Keselamatan, jurang pembangunan serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), di samping inisiatif UN80.
Menjelang Debat Umum, Mohamad akan menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tinggi bermula 24 Sept dengan Mesyuarat Peringkat Menteri Suruhanjaya Pembinaan Semula Keamanan, diikuti Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Peringkat Menteri Bagi Menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) 2026, serta mesyuarat peringkat tinggi mengenai ancaman kewujudan akibat peningkatan paras laut.
Mohamad juga akan meraikan diaspora Malaysia di New York dalam satu majlis makan malam pada 26 Sept, sekali gus memberi peluang untuk bertemu dengan rakyat Malaysia yang bekerja dan menuntut di New York serta kawasan sekitarnya.
-- BERNAMA