Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan bahawa Jalan Tun H.S Lee akan ditutup mulai Isnin ini hingga 30 Jun 2015.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Amir Mahmood Razak berkata penutupan itu bagi memudahkan pembinaan tembok diafragma bagi Stesen Pasar Seni.

Beliau berkata dalam tempoh itu, aliran trafik akan dilencong ke laluan alternatif yang baharu dibina MRT dan ia boleh diakses melalui Jalan Panggong.

"Memandangkan tempoh penutupan yang panjang, iaitu sehingga pertengahan 2015, kami menyediakan laluan alternatif ini untuk kemudahan pemandu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amir berkata turut ditutup ialah Lebuhraya Sprint (arah Petaling Jaya) di mana lorong paling kanan akan menjalani penutupan percubaan selama seminggu berkuat kuasa Isnin ini hingga 26 Jan, 24 jam sehari, membabitkan laluan sebelum simpang Jalan Batai Barat ke persimpangan bertingkat Bukit Kiara.