KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta segelintir umat Islam, termasuk ahli politik agar tidak cuba 'menunggang agama' berhubung notis petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Perdana Menteri berkata, persepsi yang ditimbulkan oleh pihak berkenaan seolah-olah cuba mencabar perundangan syariah, tanpa melihat isu sebenar.

"Padahal substantifnya ialah bidang kuasa, adakah Negeri boleh buat undang-undang (sendiri) atau harus berunding dengan peringkat Persekutuan untuk lakukan undang-undang.

"Saya dari segi Kerajaan, saya nak sebut di sini, kita tidak halang. Cuma biar ada ikut kaedah yang betul. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes 2021 di Selangor dan sekarang, ini bukan keputusan substantif soal syariah, ia soal bidang kuasa. Apakah Negeri boleh buat (undang-undang)?

"Kita bayangkan, kalau Negeri itu diberikan ruang sewenang-wenangnya, semua Negeri buat undang-undang dan setiap Negeri itu ada percanggahan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung Notis Petisyen yang difailkan Nik Elin dan anaknya, yang dilihat usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Petisyen yang difailkan Nik Elin dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan, adalah bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Menjawab lanjut, Anwar (PH-Tambun) berkata, Kerajaan juga menghormati sebarang keputusan yang akan akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen tersebut.

Begitu pun, beliau menambah keputusan tersebut tidak menghalang Kerajaan untuk melakukan penelitian dan perbincangan melalui Jawatankuasa Khas yang dijadual bersidang pada 4 Disember ini

"Tetapi apa pun keputusan itu, ia tidak halang Kerajaan dengan Perkenan Raja-Raja Melayu untuk mengadakan penelitian dan membincangkan dengan semua pihak, untuk memberikan pandangan mereka supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dengan maksud meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang ada sekarang," tambah Anwar.

Jelas Anwar lagi, menerusi jawatankuasa khas itu, sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang dikemukakan akan dimohon untuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen.

Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Persekutuan menegaskan, isu dalam petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, petisyen tersebut hanya semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.