Skip to main content

Dunia

Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin masih menunggu visa AS untuk hadiri Piala Dunia FIFA

Jibril Rajoub_REUTERS
Rajoub adalah antara beberapa individu yang mendapat akreditasi untuk menyertai kejohanan berkenaan tetapi masih menunggu kelulusan untuk memasuki AS atau ditolak terus daripada memasuki negara itu. - Gambar fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin Jibril Rajoub berkata beliau masih menunggu visa untuk memasuki Amerika Syarikat bersama beberapa ketua persekutuan bola sepak lain yang dijadual menghadiri Piala Dunia FIFA 2026.

“Saya tidak percaya adalah adil untuk menggunakan atau menyalahgunakan kuasa sehingga menafikan hak pemain bola sepak dari seluruh dunia untuk hadir,” kata Rajoub dalam temu bual dengan Associated Press, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut laporan itu, Rajoub adalah antara beberapa individu yang mendapat akreditasi untuk menyertai kejohanan berkenaan tetapi masih menunggu kelulusan untuk memasuki AS atau ditolak terus daripada memasuki negara itu. Pada Khamis, beliau menghadiri perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan yang berlangsung di Mexico City.

Pada Selasa, FIFA mengesahkan yang pengadil Somalia Omar Artan, tidak akan dapat mengendalikan perlawanan Piala Dunia 2026 selepas beliau dilarang memasuki AS.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Iran mengesahkan yang AS membatalkan kuota untuk penyokong dari Iran, manakala beberapa anggota delegasi pasukan kebangsaan negara itu turut dinafikan visa.

Piala Dunia FIFA 2026 adalah edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan kebangsaan dan dianjurkan bersama oleh tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan AS. Kejohanan itu berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement