Skip to main content

Malaysia

Jangan sewenang-wenang guna istilah tanah adat - Sultan Pahang

ROMPIN, 18 Ogos -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama anakanda baginda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan bergambar pada Program Kenduri Rakyat sempena sambutan Hari Orang Asli 2026 di Padang Awam, Kampung Orang Asli Sungai Mok hari ini.  Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua,kiri).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Al-Sultan Abdullah (tengah) ketika menyempurnakan Program Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok pada Selasa. - Bernama
Advertisement

ROMPIN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya istilah tanah adat tidak digunakan sewenang-wenangnya. 

Al-Sultan Abdullah bertitah di Semenanjung Malaysia, khususnya di Pahang, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] tidak memperuntukkan suatu kategori tanah yang dinamakan tanah adat.

Baginda bertitah istilah yang diperuntukkan secara khusus di bawah Akta 134 ialah “Kawasan Orang Asli” di bawah Seksyen 6 dan “Rizab Orang Asli” di bawah seksyen 7, yang boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.

“Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah “tanah adat” seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak.

“Kebelakangan ini banyak sangat isu berkaitan tanah dan pencerobohan di Pahang, ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan dan anggapan kepada pihak istana dan kerajaan negeri... dari dulu hingga kini, kita tak pernah menganiaya mana-mana masyarakat Orang Asli,” titah baginda. 

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok di sini.

Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Baginda bertitah kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak orang asli dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut perlembagaan serta undang-undang.

Sultan Pahang bertitah perlembagaan sendiri membenarkan peruntukan khusus bagi perlindungan dan kemajuan Orang Asli termasuk perizaban tanah. 

“Namun, hak mestilah berjalan bersama undang-undang, di bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli. 

“Justeru, sesuatu tuntutan tidak boleh diterima hanya kerana sesuatu kawasan disebut sebagai tanah adat. Status tanah, pewartaan, sempadan, sejarah pendudukan dan fakta di lapangan hendaklah diteliti terlebih dahulu mengikut undang-undang,” titah baginda. 

Di samping itu, baginda menzahirkan harapan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dipercepat supaya kawasan diperuntukkan kepada Orang Asli benar-benar terpelihara dan pada masa sama mengelakkan pertindihan serta peluasan tuntutan tanpa batas.

“Tidak mahu mana-mana pihak sama ada individu, pertubuhan atau pihak berkepentingan mengelirukan masyarakat Orang Asli dengan memberikan gambaran bahawa setiap kawasan mereka tuntut merupakan tanah adat yang secara automatik menjadi milik mereka.

“Saya tidak mahu perkara seperti berlakunya di Jemeri, di Rompin dan di Kampung Cot di Maran berulang di tempat lain. Pihak berkuasa harus memainkan peranan lebih pantas untuk mengelakkan perkara ini berlaku berulang lagi,” titah Al-Sultan Abdullah. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement