Skip to main content

Malaysia

JAS kompaun enam motosikal gagal ujian bunyi bising, pelepasan gas

 BERNAMA @bernamadotcom · 2h JAS kompaun enam motosikal gagal ujian bunyi bising, pelepasan gas_JAS WPKL
Sharifah Zakiah berkata enam motosikal berkenaan dikesan melakukan kesalahan yang menyumbang kepada pencemaran udara serta kacau ganggu bunyi bising. - Gambar JAS WPKL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Enam daripada 50 motosikal yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar ibu negara semalam dikompaun selepas gagal ujian bunyi bising dan pelepasan gas.

Pengarah JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata enam motosikal berkenaan dikesan melakukan kesalahan yang menyumbang kepada pencemaran udara serta kacau ganggu bunyi bising.

“Enam motosikal terbabit dikenakan tindakan kompaun di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan bunyi bising dan pelepasan gas motosikal yang turut melibatkan Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) WPKL itu akan terus dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan penunggang terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Langkah penguatkuasaan yang konsisten penting bagi menjamin kelestarian alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada kualiti udara lebih baik untuk kesejahteraan awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sharifah Zakiah berkata JAS WPKL melaksanakan 50 operasi penguatkuasaan yang memfokuskan kesalahan pelepasan gas dan bunyi bising motosikal sepanjang tahun ini.

Menerusi operasi berkenaan, sebanyak 235 kompaun dikeluarkan kepada pemilik motosikal yang ingkar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement