MALAYSIA
Jasad bapa lemas di Sungai Kelantan ditemui

Mayat mangsa, Saifuldin (gambar kecil), ditemukan pagi ini selepas dilaporkan hilang di Sungai Kelantan pada Isnin. - Foto ihsan bomba/Sinar Harian
TANAH MERAH: Jasad seorang bapa yang hilang selepas terjun ke Sungai Kelantan bagi menyelamatkan anaknya ditemui timbul dalam keadaan tertiarap di permukaan air cetek di Kampung Sat di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, mayat mangsa, Saifuldin Ramli @ Ghazali, 46, ditemukan pada jam 7.42 pagi oleh pasukan bomba yang melakukan rondaan menggunakan bot.
“Mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap di permukaan air cetek, kira-kira 300 hingga 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Selepas ditemui, mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya.Sementara itu, adik mangsa, Rashida, 40, yang juga seorang suri rumah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kami reda dengan ketentuan ini, syukur jasad abang akhirnya ditemukan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantu dari awal hingga akhir,” katanya.
Pada Isnin, media melaporkan mangsa yang juga seorang pendawai elektrik dilaporkan lemas selepas sempat menyelamatkan anak sulung perempuannya berusia 11 tahun yang tergelincir dari tebing sungai.
Bapa kepada empat anak itu sebelumnya memenuhi hasrat anak lelaki bongsunya yang berusia enam tahun untuk datang bermain wau di kawasan lapang tepi sungai berkenaan.
Anak perempuannya itu turut dimasukkan ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan namun dilaporkan stabil.
Operasi SAR sejak hari pertama dijalankan melibatkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta pasukan sukarelawan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami