KUALA LUMPUR: Nama Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman mungkin tidak berapa dikenali generasi muda negara ini.

Namun, sebuah penempatan yang mengambil sempena nama Allahyarham iaitu Taman Tun Dr Ismail, yang terletak antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, bukti penghargaan terhadap kepimpinan serta sumbangan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua Malaysia.

Untuk memperingati negarawan 'Tonggak Perpaduan Negara' ini , Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan satu majlis hari ini, sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka, di sini.

Ia bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan Dr Ismail dalam membangunkan negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis yang dijangka dihadiri oleh 15,000 jemputan itu.

Bagi mereka yang dilahirkan sewaktu era kemerdekaan sehingga awal 1970an, pastinya masih ingat kepada Dr Ismail.

Beliau adalah seorang pengamal perubatan lulusan Australia, sebelum menceburi arena politik tanah air, yang tegas dengan prinsip hak, maruah dan keadilan.

Dr Ismail mempunyai agenda yang unik untuk politik Malaysia, hubungan kaum dan bagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India serta anggota masyarakat lain, perlu memainkan peranan untuk meluncur negara ke arah kecemerlangan.

Mungkin juga politik Malaysia hari ini akan menjadi berbeza daripada apa yang berlaku seandainya Dr Ismail tidak meninggal dunia secara mengejut dalam usia 58 pada tahun 1973 - ketika beliau berada di kemuncak karier politiknya.

NARATIF DI SEBALIK 'THE RELUCTANT POLITICIAN'

Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang, Datuk Dr Ooi Kee Beng berkata, beliau bangga dapat menghasilkan biografi Dr Ismail, menjejak kisah kehidupan beliau menceburi bidang politik serta pembangunan negara. Biografi itu bertajuk 'The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time'.

Buku yang dihasilkan pada tahun 2006 dengan kerjasama anak sulung lelaki Allahyarham, Tawfik, memaparkan ketokohan Dr Ismail sebagai seorang yang berprinsip dan komited untuk menegakkan keadilan dan maruah, sepanjang memikul tugas yang diamanakan.

Mengimbau kembali ketika beliau ditugaskan untuk menulis biografi Dr Ismail kira-kira 18 tahun lalu iaitu pada 2005, Ooi berkata, K. Kesavapany, pengarah kumpulan pemikir Singapura, Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) yang kini dikenali sebagai ISEAS - Institut Yusof Ishak, mahu menerbitkan siri buku dengan fokus pemimpin tertentu.

"Beliau (K. Kesavapany) terus ingat kepada saya kerana saya memang menulis pelbagai bahan politik dan sejarah.

"Tawfik pada masa itu, dengan galakan rakan lamanya Duta Verghese Mathews, memutuskan kertas peribadi ayahnya perlu diberikan kepada ISEAS. Kertas ini sekarang dalam simpanan perpustakaan ISEAS, antara perpustakaan terbaik di dunia untuk pengajian Asia Tenggara. Makanya sudah tentu ia tempat terbaik untuk menyimpan kertas berkenaan.

"Jadi, ISEAS memberikan tugas itu kepada saya, dan saya menyiapkan biografi berkenaan dalam masa setahun setengah. Ianya berdasarkan minat saya sendiri terhadap sejarah Malaysia, temu bual dengan mereka yang pernah bekerja dengan Dr Ismail juga rakan-rakannya. Saya juga bergantung kepada kertas peribadi dan penulisan lain, " beliau memberitahu Bernama dalam temu bual eksklusif secara maya baru-baru ini.

Buku setebal 311 halaman dengan lapan itu yang dibahagikan kepada dua bahagian bertajuk "Merdeka or Medicine" dan "Remaking Malaysia," memberikan naratif lengkap serta meluas mengenai karier politik Dr Ismail's dari tahun 1950an sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1973.

Biografi yang diterbitkan oleh ISEAS, Singapura, itu juga berdasarkan kertas peribadi Dr Ismail yang mengandungi autobiografi yang belum siap, surat-menyurat serta laporan yang ditulis beliau sewaktu berkhidmat sebagai duta ke Amerika Syarikat, di samping sumber sekunder.

Ia juga mengandungi temu bual dengan pelbagai orang yang amat mengenali beliau iaitu keluarganya, kawan rapat dan mereka yang seangkatan dengan beliau seperti Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Lee Kuan Yew.

Menurut Ooi, 68, temu bual dengan mendiang pemimpin Singapura Lee Kuan Yew dan ahli perniagaan/taikun Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, Robert Kuok amat penting untuk projek ini kerana pandangan mereka bukan sahaja mengenai politik Malaysia tetapi juga mengenai Ismail, yang sangat objektif.

"Untuk Robert (Kuok), saya pergi ke Hong Kong untuk mewancara beliau dan untuk menyiapkan buku ini, saya berulang alik antara Kuala Lumpur dan Singapura beberapa kali.

"Bagaimanapun, untuk penyelidik, kita memanglah hendak sumber tetapi tidak terlalu banyak dan kertas Dr Ismail tidaklah juga banyak, kita-kira lima beg plastik dan mudah untuk saya membaca kesemuanya," katanya.

DILUPAI

Berbanding perdana menteri pertama dan kedua iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Abdul Razak Hussein, yang mendapat liputan meluas dalam buku teks sejarah di sekolah, Dr Ismail hampir tidak mendapat perhatian dalam rujukan atau buku teks Malaysia, dan mungkin ini menyebabkan kebanyakan generasi muda tidak mengenali beliau.

Pada mula surat 275 biografi Dr Ismail, Ooi menulis: "Konvensyen historiografi sering membenarkan Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) dan Razak membayangi pencapaian Ismail, dan nama beliau lazimnya disebut secara kombinasi dengan dua orang lain dan dengan (bekas Presiden MCA) Tun Tan Siew Sin.

"Akhirnya generasi muda Malaysia tidak belajar apa-apa tentang beliau dan yang lagi teruk, mereka tidak berpeluang memahami idea di sebalik jasa beliau. Legasinya masih belum diterokai," tambahnya.

Masih berpegang kepada kenyataan beliau yang terkandung dalam buku berkenaan, Ooi melahirkan rasa syukur kerana biografi Dr Ismail, sekurang-kurangnya mampu memberi inspirasi kepada generasi muda, terutama yang memasang cita-cita untuk menjadi pemimpin dan memberi tumpuan kepada pembangunan negara daripada menyerang orang lain dalam politik.

"Saya gembira dapat menulis buku ini. Beliau (Dr Ismail) meninggal pada usia muda, dan berdasarkan budaya politik di Malaysia, sekiranya anda meninggal muda, anda akan dilupakan. Memang beliau hampir dilupakan dan jika tidak kerana anak lelaki beliau Tawfik, yang amat menyayangi ayahnya, dapatlah kita mengenali diri, perwatakan Dr Ismail yang banyak memberi inspirasi serta harapannya untuk Malaysia.

"Saya masih ingat ada seorang ahli Umno yang muda dan mendekati saya sambil memegang buku Dr Ismail. Beliau memberitahu saya bahawa buku itui memberi inspirasi kepada beliau untuk membentuk semula UMNO. Saya tersentuh dengan kata-kata beliau," kata Ooi.

Ooi, yang juga mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam Sinologi dari Universiti Stockholm, Sweden berkata, sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air pada tahun 2004, nama Dr Ismail sudah dilupai.

"Saya berusia belasan tahun sewaktu Dr Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika berlaku rusuhan 13 Mei dan semuanya itu .... Sebenarnya saya ingat beliau dari TV. Itu sebabnya saya memilih potret beliau dengan paip tembakau untuk digunakan sebagai gambar muka hadapan buku, itu yang mengingatkan saya kepada beliau," katanya.

Untuk biografi itu, imej Dr Ismail yang diambil daripada sisi dengan sebatang paip tembakau dan latar belakang kuning keemasan, menghiasi muka hadapan buku berkenaan. Buku itu menerima Anugerah Kecemerlangan untuk Penulisan Terbaik dihasilkan dalam bentuk buku atau sebarang aspek Asia (bukan fiksyen) di Augerah Konvensyen Penerbitan Asia 2008.

Satu pementasan mengenai Dr Ismail berdasarkan buku berkenaan turut dianjurkan oleh Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).

PERCAYA KEPADA KESAKSAMAAN KAUM

Perkara lebih menarik yang ditulis Ooi mengisahkan sumbangan besar Dr Ismail sewaktu beliau menyandang potfolio Hal Ehwal Luar Negara, diikuti Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Bergandingan dengan Razak, beliau memainkan peranan penting dalam pemisahan Singapura dari Malaysia (kerana perbezaan ideologi), berunding di belakang tabir dengan rakan sejawatan Singapura termasuk Goh Keng Swee, yang pada masa itu menteri kewangan, dan Eddie Barker, menteri undang-undang.

Menurut Ooi, sewaktu wawancaranya dengan Lee Kuan Yew, bekas pemimpin Singapura itu menggambarkan Dr Ismail sebagai lain dari yang lain dan 'yang paling saya percayai dalam kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO'.

Turut disebut di dalam buku biografinya ialah pendirian tentang kesaksamaan kaum yang sudah dijiwainya sejak beliau kecil lag. Dr Ismail mempuyai saudara perempuan angkat dan membesar dengan kawan-kawan dari pelbagai latar belakang.

Ini termasuk Kuok brothers (Philips dan Robert), Leslie Cheah, dan Puthucheary brothers, juga pendidikan pelbagai kebudayaan serta satu-satunya pelajar Melayu ketika belajar perubatan di Melbourne, Australia.

Legasi beliau bukan setakat sumbangan politik kerana beliau menjalin persahabatan tanpa memilih kaum. Kepercayaan beliau dalam kekuatan kepelbagaian membolehkan Dr Ismail cekal mengemudi negara ini ketika Malaysia melalui ujian paling getir.

PENDIRIAN TEGAS

Berpendirian tegas, Robert Kwok dipetik di dalam buku, menyifatkan Dr Ismail sebagai 'seorang yang berpegang teguh kepada prinsip. Meminta beliau menggunakan kuasa politik untuk membantu anda bersamaan dengan meletakkan diri anda dalam penjara!'

Menurut Ooi, Dr Ismail juga tidak menyenangi sebarang bentuk rasuah, mahu pun kecil daripada orang yang pernah menerima bantuan beliau di masa lampau.

"Ada satu insiden melibatkan pasangan Cina (pekebun) yang membawa sayur ke rumahnya dan beliau dengan marah meminta mereka beredar ... kerana Dr Ismail percaya rasuah selalu bermula dengan perkara kecil," katanya.

Perkara ini mungkin apa yang dipelajarinya di Australia kerana dalam kalangan generasi pertama pemimpin negara ini, hanya beliau yang lulus dan kemudiannya bekerja di Melbourne, Australia, dan bukan United Kingdom, seperti mana yang lain.

"Hakikatnya, beliau juga menghargai senaman fizikal meskipun beliau dilahirkan dengan penyakit jantung. Beliau mengamalkan gaya hidup aktif, banyak berjalan sewaktu mengikuti pengajian perubatan di Melbourne, Australlia.

"Secara peribadi, bagi saya, mereka yang memilih melakukan kegiatan fizikal secara bersendirian, untuk membina sahsiah diri. Ia memberi banyak masa untuk berfikir dan mengenali diri sendiri, " katanya.

MENINGGAL DUNIA SEBAGAI PEMANGKU PERDANA MENTERI

Secara tragis, perjalanan hidup Dr Ismail terhenti dengan tiba-tiba apabila beliau kembali ke Rahmatullah pada bulan Ogos 1973 sewaktu berkhidmat sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Pemergian beliau diratapi seluruh negara dan meninggalkan kekosongan yang boleh dirasai bertahun-tahun selepas itu.

Bagaimanapun, kepimpinannya yang berwawasan dan terus memberi inspirasi kepada pemimpin masa depan serta menggalakkan mereka mendokong nilai integriti, perpaduan dan khidmat yang mengutamakan negara.

"Abdul Razak melantik beliau sebagai timbalannya pada September 1970, dan kedua-duaya kemudian berkongsi takdir, mengetahui salah seorang akan meninggal dunia secara tiba-tiba ketika masih menyandang jawatan.

"Menurut Robert (Kwok), Dr Ismail seakan tahu beliau akan meninggal dan berura-ura meletak jawatan atas sebab kesihatan ketika Razak sedang bersiap untuk ke Ottawa bagi mesyuarat Komanwel.

"Bagaimanapun, beliau mengalami kegagalan jantung pada 1 Ogos, 1973 sewaktu menjadi pemangku perdana menteri ketika Razak berada di Ottawa," katanya.

Sebagai seorang pemimpin yang berwawasan abad ke-20, biografi Tun Dr Ismail Abdul Rahman jelas menunjukkan keunggulan seorang negawara yang berdedikasi untuk perpaduan dan kemajuan Malaysia.

Sebagai rumusan, Ooi berpandangan bahawa Dr Ismail mungkin boleh menjadi Perdana Menteri terbaik Malaysia sekiranya beliau hidup lebih lama. - BERNAMA