KUALA LUMPUR: Program Jelajah Saya Digital@ Lembah Pantai anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berupaya meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia terutama golongan peniaga untuk menjana pendapatan dengan menceburi perniagaan dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan matlamat utama program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang teknologi digital serta memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ada 3 J... yang pertama Jana pendapatan, ini kita lihat ekonomi digital mempunyai memberi peluang untuk rakyat Malaysia melipat gandakan pendapatan sekiranya kita tahu target atau sasaran bagi produk atau perkhidmatan diberikan.

“Kedua Jimat berbelanja. Kadangkala bila kita beli di kedai jumlah barang itu hanya sekadar itu. Jadi kalau kita beli online, kita boleh tengok jumlah produk yang lebih luas dan dari penyedia lebih ramai dan ini bagi saya bantu untuk jimatkan perbelanjaan.

“Dan ketiga adalah Jauhi scam sebagai contoh, penipuan. Penipuan ini dalam banyak bentuk tapi kita harap dengan jelajah Saya Digital sedikit celik digital termasuk salah satu platform di bawah SKMM iaitu sebenarnya.my supaya kita tahu apakah maklumat benar dan elak daripada menyebar perkara tidak betul,” katanya ditemui selepas majlis Pelancaran Jelajah Saya Digital 2023 di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai hari ini.

Kredit: Astro AWANI

Dalam pada itu, Fahmi menekankan Kementerian Komunikasi dan Digital cakna mengenai cabaran rakyat dalam proses pendigitalan termasuk sumber kewangan, keselamatan dan infrastruktur digital yang dihadapi terutama para peniaga.

“Dia ada beberapa cabaran pertama akses internet itu sendiri. Mungkin di setengah tempat kita akan hadapi masalah sama ada tiada line ataupun line tidak stabil. Jadi sementara kita usahakan jelajah digital, saya juga akan meminta pihak SKMM untuk teliti lokasi atau buka booth untuk terima aduan... di manakah masalah internet berlaku supaya dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat untuk memulakan proses pendigitalan diri mahupun perniagaan boleh layari laman web mdec.my/sayadigital.