Jemaah Menteri ucap selamat menyambut Deepavali

R. Gayathiry, 21 (kanan), menunjukkan hiasan inai pada tangannya ketika membuat persiapan akhir menjelang sambutan Deepavali, di Little India, Jalan Tengku Kelana, hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Deepavali esok, Jemaah Menteri tidak ketinggalan merakamkan ucapan penuh makna kepada penganut Hindu di seluruh negara menerusi hantaran di platform media sosial masing-masing.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi laman Facebooknya, mengajak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya terus memupuk semangat perpaduan serta saling menghormati antara satu sama lain.
"Saya dan seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara, terutamanya kepada petani, peladang, penternak dan nelayan yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada sektor makanan negara. Selamat Deepavali!," katanya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berharap sinar Deepavali menjadi simbol penyatuan seluruh rakyat Malaysia, menerangi langkah ke arah sebuah negara bangsa yang makmur, sejahtera dan berjiwa besar."Tatkala lampu pelita dinyalakan di setiap kediaman, marilah kita menyuluh hati dengan sinar kemanusiaan. Biarlah cahaya Deepavali menembusi batas agama, kaum dan budaya menerangi jiwa seluruh rakyat Malaysia agar terus hidup dalam semangat faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian.
"Kita tidak akan sampai ke sinar tanpa menempuh gelap. Dalam setiap perjalanan hidup, ada pengorbanan, ada ketabahan, dan ada kasih yang menyatukan. Deepavali mengingatkan kita bahawa cahaya sejati bukan hanya datang daripada pelita, tetapi daripada hati ikhlas, tangan yang membantu dan jiwa saling menyinari. Selamat menyambut Hari Deepavali," katanya.
Menteri Digital Gobind Singh Deo pula mahu rakyat mengambil inspirasi daripada Pesta Cahaya untuk terus memajukan diri dalam semua segi, seiring dengan arus dunia digital yang sentiasa berkembang pesat.
"Deepavali Nal Valthukkal buat semua masyarakat Malaysia yang berketurunan India! Ambil peluang ini untuk meraikan Deepavali dan mengeratkan jalinan kasih bersama yang tersayang dan semoga sambutan Pesta Cahaya kali ini memberi sinar kebahagiaan, kegembiraan dan kemakmuran buat anda semua," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami