KUALA LUMPUR: Seramai 75 Ahli Parlimen pembangkang hari ini mendesak Peguam Negara menarik balik pembelaan terhadap guru dan bekas pengetua dalam saman balas yang  difailkan pelajar, Ain Husniza dan ayahnya, Saiful Nizam Ab Wahad berhubungj jenaka rogol di dalam kelas.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara yang mengarahkan seorang Peguam Kanan Persekutuan sebagai peguam bela disifatkan sebagai amat memeranjatkan.

"Kami, Ahli Parlimen Malaysia, berpendapat bahawa pihak kerajaan Keluarga Malaysia, khususnya Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan, haruslah bersikap berkecuali dalam pertikaian ini.

"Walau bagaimanapun, fokus kerajaan seharusnya diletak pada usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah-sekolah di seluruh negara," kata mereka dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Kenyataan bersama itu antaranya ditanda tangani oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Seremban); Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar); serta Datuk Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang).

Tegas mereka lagi, bidang perguruan mesti dihormati, terutamanya dalam usaha mendidik dan membimbing masa depan anak-anak bangsa.

Namun, ujar mereka, institusi-institusi pendidikan perlu memberi penegasan bahawa sindiran seksual dan jenaka mengenai rogol, terutama terhadap remaja perempuan, tidak boleh diterima sama sekali.

"Pelantikan seorang Peguam Kanan Persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terlibat hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi persepsi yang negatif terhadap Kementerian Pendidikan dan kerajaan," tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, mereka menambah kes yang berlaku terhadap Ain, mencetuskan lebih kebimbangan dan kegentaran dalam kalangan ibu bapa serta pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu, ia turut menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendidikan negara.

Ahli parlimen berkenaan turut menegaskan bahawa pihaknya menghormati hak sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk guru terbabit.

Jabatan Peguam Negara, kata mereka adalah pembela kepentingan orang awam dan tidak patut berpihak dalam kes persendirian yang sensitif seperti  itu.

Sebaliknya, Jabatan Peguam Negara haruslah hanya membela kes yang melibatkan entiti kerajaan sahaja.  

"Jabatan Peguam Negara sebagai penggubal rang undang-undang Gangguan Seksual seharusnya lebih peka terhadap kes seperti ini," tambah mereka.

Terdahulu, Ain dan bapanya membantah tindakan peguam kerajaan mewakili dua individu yang disaman dan saman balas atas kapasiti peribadi, yang disifatkan sebagai langsung tidak boleh diterima.

Ia susulan, Peguam Kanan Persekutuan mempertahankan guru Ain dan bekas pengetua sekolah yang dinamakan sebagai defendan dalam samannya.