KUANTAN: Polis Pahang menerima 1,710 laporan berhubung penipuan komersial dengan 564 kertas siasatan dibuka, melibatkan kerugian RM9.743 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata bilangan laporan meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 495 kertas siasatan, namun jumlah kerugian adalah lebih rendah berbanding tahun lepas yang mencatatkan RM10.216 juta.

"Kesalahan tipu dalam talian adalah penyumbang utama statistik dengan 478 kes melibatkan kerugian RM6.9 juta dengan penipuan e-belian paling tinggi iaitu 156 kes, diikuti tipu tawaran kerja sebanyak 80 kes, selain kes lain seperti Macau dan Love Scam, tipu pelaburan dan pinjaman wang tidak wujud.

"Kebanyakan mangsa yang terlibat ialah lelaki yang berusia antara 17 hingga 40 tahun dengan majoritinya iaitu 229 kes melibatkan pekerja swasta diikuti kakitangan awam 69 kes, bekerja sendiri (58 kes), tiada pekerjaan (57 kes), penuntut (45 kes) dan pesara (20 kes)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang Datuk Mohd Yusri Othman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Supt Wan Rosli Wan Othman.

Ramli juga memaklumkan daripada 564 kertas siasatan itu, daerah Kuantan merekodkan kes paling banyak iaitu 227 kertas siasatan diikuti Bentong dan Temerloh dengan masing-masing 75 kes, Raub (35), Bera (30), Pekan (29) dan Rompin (26).

Setakat tahun ini juga, Ramli berkata JSJK Pahang telah menangkap 319 suspek dengan 303 daripada angka itu terlibat dalam kes penipuan, termasuk pemilik akaun yang disyaki digunakan dalam jenayah tersebut.

"Kita menasihatkan orang awam untuk tidak mudah meminjamkan atau menyewa akaun bank kepada pihak ketiga kerana akibat menjadi suspek keldai akaun boleh menjejaskan masa depan dan kerjaya sendiri, selain boleh dituduh di mahkamah atau berhadapan tuntutan sivil.

"Selain itu, masyarakat juga diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan tawaran jualan yang terlalu jauh daripada harga pasaran normal atau menawarkan keuntungan terlalu tinggi atau tawaran kerja yang terlalu mudah di media sosial," katanya.

Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan transaksi selain tidak memuat turun sebarang pautan yang mencurigakan.

-- BERNAMA