Skip to main content

Malaysia

Jenazah anak Editor Kanan Astro AWANI disemadi hari ini

Sumber: Astro AWANI
Seluruh warga Astro AWANI merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Husna atas kehilangan yang amat berat ini.

JELI: Jenazah Mursyid Azmi, anak kepada Editor Kanan Astro AWANI, Husna Yusop, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Gerik–Jeli semalam, dijangka dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Gua Mesa, Rantau Panjang, Kelantan.

Ketika ini, jenazah masih berada di Unit Forensik Hospital Jeli untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halaman keluarga.

Advertisement

Menurut bapa Allahyarham, Azmi Ramli, keluarga merancang untuk mengebumikan Mursyid di kampung mereka selepas solat sunat Aidilfitri.

“Mesej terakhir petang tadi, adik dia jawab, katanya semua ok. Dia beli baju untuk mak dia,” kata Azmi ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Jumaat, Mursyid yang memandu kereta Perodua Myvi ditemani dua adiknya, Madiha dan Mumtaz, masing-masing berusia 17 dan 19 tahun.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Ipoh ke kampung halaman Azmi di Tasik Bakong bagi menyambut Aidilfitri.

Madiha dan Mumtaz mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Jeli.

Bagaimanapun, Madiha akan dipindahkan ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut selepas disahkan mengalami patah bahagian peha.

Difahamkan, Husna bersama suami serta dua lagi anaknya pulang sehari lebih awal ke Kelantan.

Tiga lagi anaknya termasuk Allahyarham Mursyid bermalam di rumah keluarga Husna di Ipoh sebelum bertolak pulang pada pagi Jumaat.

Allahyarham bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat logistik di Singapura.

Seluruh warga Astro AWANI merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Husna atas kehilangan yang amat berat ini.

 

Must Watch Video