JOHOR BAHRU: Dua beranak yang meninggal dunia dalam insiden kejam di Kampung Bakar Batu di sini, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, jam 8.10 malam ini.

Kedua-dua jenazah yang tiba tepat jam 7.50 malam sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek Bakar Batu di sini, selepas solat Maghrib.

Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohd Thakif Amir, berusia kira-kira tiga bulan, sebelum itu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Proses bedah siasat kedua-dua jenazah dilaporkan selesai jam 5.42 petang tadi.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan rakan hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah.

Turut kelihatan di tanah perkuburan itu adalah keluarga suspek termasuk bapanya yang berusia 55 tahun.

Jenayah | Bapa mangsa kelar tidak simpan dendam kepada menantu

Semalam, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai mengelar isteri dan bayinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Jalan Dewasa Kampung Bakar Batu kira-kira jam 12 tengah hari.

Lelaki itu kemudian bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sebelum video dan gambarnya tular di media sosial.