KUCHING: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, selamat dikebumikan di perkuburan keluarganya di Demak Jaya, di sini pada 2.20 petang Khamis.

Abdul Taib yang meninggal dunia di usia 87 tahun disemadikan bersebelahan pusara isteri pertamanya Allahyarhamah Toh Puan Laila Taib, dan talkin dibacakan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis pengebumian mengikut istiadat penuh kerajaan negeri itu berjalan lancar biarpun dalam keadaan hujan.

Isteri bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, Toh Puan Ragad Kurdi Taib menahan sebak ketika Istiadat Pengebumian Negeri di Tanah Perkuburan Keluarga di Demak Jaya hari ini. - Foto Bernama

Kedua-dua anak lelaki Allahyarham iaitu Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir turut menyambut jenazah ketika diturunkan ke ke liang lahad sebelum dikebumikan.

Jenazah Tun Taib Mahmud selamat disemadi


Terdahulu solat jenazah didirikan di Masjid Demak yang turut diimamkan oleh Mustapha selepas menunaikan solat Zohor berjemaah.

Turut hadir di upacara pengebumian Abdul Taib adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta anggota Kabinet negeri Sarawak.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah turut mencemar duli di Masjid Demak, menyertai jemaah solat Zohor dan solat jenazah sebelum menghadiri majlis pengebumian Tun Abdul Taib yang berlangsung di sebelah masjid tersebut.

Pemergian Abdul Taib meninggalkan balu, Toh Puan Ragad Kurdi Taib serta empat orang anaknya bersama Laila Taib.