KUALA PILAH: Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, yang mangkat pagi tadi selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, di sini, petang ini.

Istiadat pemakaman Almarhumah Tunku Najihah yang juga isteri kepada Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman selesai kira-kira pukul 6.37 petang dalam suasana cuaca mendung.

Jenazah baginda dimakamkan bersebelahan makam Almarhum Tuanku Ja'afar.

Almarhumah adalah Raja Permaisuri Agong kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

Tunku Ampuan Najihah mangkat pada usia 100 tahun di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, di sini pada 6.53 pagi tadi.

Terdahulu, van membawa jenazah Almarhumah Tunku Ampuan Najihah tiba di Istana Besar Seri Menanti pada 1.20 tengah hari tadi.

Almarhumah Tunku Najihah disemayamkan di atas palemba (adat istiadat istana) yang terletak di tengah dewan tingkat bawah Istana Besar Seri Menanti untuk penghormatan terakhir bagi kerabat diraja dan beberapa pemimpin lain.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Antara pemimpin yang turut memberi penghormatan terakhir ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Amran Awaludin mengimamkan solat Asar dan solat jenazah Almarhumah Tunku Najihah.

Kemudian jenazah Almarhumah Tunku Najihah dibawa ke Makam Diraja Seri Menanti dengan pedati Diraja oleh pasukan penarik pedati 1 Briged Pangkalan Udara Sendayan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Cuaca mendung mengiringi keberangkatan jenazah dan pergerakan dari Istana Besar Seri Menanti ke Makam Diraja Seri Menanti sejauh kira-kira 200 meter.

Turut mengiringi jenazah, anakanda baginda Tunku Datuk Seri Naquiyuddin, Tunku Tan Sri Imran dan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin.

Istiadat pemakaman turut disertakan 16 das tembakan Gun Salute oleh 41 Rejimen Artileri Diraja (RAD) semasa keberangkatan jenazah dari Istana Besar Seri Menanti ke Makam Diraja Seri Menanti.

Tempoh perkabungan bagi kemangkatan Almarhumah adalah sehari iaitu pada hari ini.

-- BERNAMA