Jepun akan terus menjadi model kepada seluruh dunia jika menolak peperangan dan mengekalkan nilai budayanya, ujar Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, Jepun perlu menunjukkan nilai murni masyarakatnya yang menyumbang kepada kejayaan negara matahari terbit itu.

“Saya rasa Jepun mampu jadi sebuah model kepada seluruh dunia. Ia adalah satu-satunya negara di dunia yang menolak peperangan.

"Ada yang masih menggunakan peperangan terhadap negara lain. Itu sebabnya kenapa Jepun perlu tunjukkan kepada dunia,” katanya semasa menyampaikan ucapan bertajuk “Dilema Baharu Di Asia Yang Berkembang Pesat” di hadapan peserta Institut Kepimpinan Kyushu-Asia di Fukuoka pada Khamis.

Menurut Perdana Menteri, tindakan menolak sebarang bentuk peperangan adalah disifatkan sebagai satu langkah penyelesaian konflik yang berkesan.

“Hari ini Jepun tidak lagi mengamalkan Harakiri. Pada masa sama, kamu (rakyat Jepun) cuba mengelak untuk malu dengan diri sendiri dan menyelesaikannya dengan mencapai sesuatu perkara dengan baik.

“Jika Jepun mempromosikan tidak kepada peperangan, atau kualiti baik, maka seluruh dunia akan mendapat manfaat daripada falsafah yang dipegang,” katanya lagi.

Malah, Jepun akan kekal menjadi negara model kepada Malaysia terutama dari segi kepentingan bidang pendidikan, tambahnya.

“Saya rasa Jepun sebagai sebuah model negara contoh, menyebabkan Malaysia mahukan sebuah universiti Jepun di Malaysia tanpa perlu pelajar kami ke Jepun untuk belajar di sana kerana ia sangat mahal,” ujarnya.