KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu merentas sempadan yang melanda negara kekal membimbangkan dengan 32 stesen pemantauan udara di seluruh negara terus merekodkan kualiti udara tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.
Berdasarkan data terbaharu Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), beberapa kawasan di Sarawak dan koridor tengah Semenanjung terus mencatatkan bacaan tinggi.
Di Semenanjung, Putrajaya dan Nilai masing-masing merekodkan bacaan IPU 162, menjadikan kedua-dua lokasi itu antara kawasan paling terjejas.
Seremban meningkat kepada 157, menyamai bacaan di Shah Alam dan Johan Setia. Cheras pula mencatatkan bacaan 154 manakala Petaling Jaya kekal pada paras 151.
Balok Baru di Kuantan dan Kuala Selangor turut mencatatkan peningkatan kepada 119.
Di Sarawak, Serian kembali merekodkan bacaan tertinggi negara apabila meningkat kepada 178 berbanding 173 pada jam sebelumnya.
Samarahan mencatatkan bacaan 167 manakala Kuching merekodkan bacaan 164. Sri Aman pula berada pada paras 156.
Sarikei terus kekal dalam kategori sederhana dengan bacaan 99.
Di Johor, Segamat kekal mencatatkan bacaan tertinggi pada paras 156, diikuti Batu Pahat dan Tangkak yang masing-masing merekodkan bacaan 155.
Larkin pula menurun sedikit kepada 151.
Di Melaka, Bukit Rambai meningkat kepada 154 manakala Bandaraya Melaka kekal pada paras 152.
Sementara itu, utara Semenanjung terus merekodkan kualiti udara terbaik dengan Kangar mencatatkan bacaan terendah negara pada paras 25, diikuti Langkawi pada paras 26.
Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka yang sesuai serta memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan pernafasan.