BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menghantar surat kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Kerajaan Indonesia berhubung keadaan kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan yang melanda negara terutama Sarawak ketika ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, surat kepada kedua-dua pihak itu akan dihantar NRES dalam masa terdekat.
Tegasnya, selain Kerajaan Indonesia, utusan surat ke Sekretariat ASEAN penting memandangkan badan itu menguruskan isu-isu berbangkit yang berada dalam negara-negara anggota.
"Surat itu saya jangka dalam sehari dua ini akan diserahkan ke Sekretariat ASEAN kepada Setiausaha Agung (Secretary-General) ASEAN supaya Sekretariat ASEAN dapat mengurus bersama dengan Malaysia dan Indonesia cara untuk menangani dan sekali gus menghadapi kebakaran hutan ini (jerebu).
"Kadang-kala apabila kita hantar sahaja kepada rakan sejawat, ia kurang berkesan. Dengan adanya Sekretariat ASEAN, badan ini dapat menangani isu-isu dalam negara anggota," katanya kepada media Malaysia di Bandar Seri Begawan pada Jumaat.
Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Pertukaran Surat Ke-27 (EOL-27) bersama Menteri Luar Brunei Kedua, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof, di sini.
Mesyuarat EOL tersebut akan memantau kemajuan kerjasama dua hala serta membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pemimpin semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26 yang diadakan di Putrajaya, tahun lepas.
Pada Jumaat, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian, Sarawak mencecah 227, iaitu berada pada tahap sangat tidak sihat sehingga 2 petang ini dengan sembilan kawasan lain di negeri itu merekodkan bacaan tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan hari ini berkata, Sri Aman merekodkan bacaan IPU kedua tertinggi, iaitu 187 diikuti Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu dan Samalaju (154) serta Kapit dan Mukah (130).
Katanya, kualiti udara dalam negara pada Jumaat didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Sarawak berikutan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 20 Ogos, sebanyak 288 titik panas dikesan di Kalimantan, 53 di Sumatera dan dua di Malaysia masing-masing satu di Sarawak dan Terengganu.
Sementara itu, Kementerian Kehutanan Indonesia memaklumkan jumlah titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh sehari kepada 518, susulan peningkatan kejadian kebakaran hutan dan tanah.
Kementerian itu memaklumkan Kalimantan Barat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 259 titik panas, diikuti Kalimantan Tengah 242 dan Kalimantan Selatan 17.