Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Sekolah di Pulau Pinang laksana PdPR jika IPU cecah 200 - JPNPP

GEORGE TOWN, 25 Ogos -- Pemandangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) kelihatan kabur akibat keadaan jerebu yang melanda di negeri ini.  Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Minden (155), Balik Pulau (151) dan Seberang Perai (146) setakat 11 pagi tadi yang mencatatkan pada tahap tidak sihat.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
JPNPP akan meneliti trend bacaan IPU di empat stesen pemantauan IPU di Pulau Pinang iaitu Minden, Balik Pulau, Seberang Jaya dan Perai. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu mencecah 200.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata langkah itu selaras dengan panduan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pengurusan sekolah ketika jerebu, yang digubal bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"JPNPP akan memantau rapi perkembangan jerebu dan tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk memaklumkan sekiranya terdapat keperluan menutup operasi sekolah serta melaksanakan PdPR," katanya kepada pemberita selepas meninjau tahap kesiapsiagaan menghadapi jerebu di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti trend bacaan IPU di empat stesen pemantauan IPU di Pulau Pinang iaitu Minden, Balik Pulau, Seberang Jaya dan Perai pada 6 petang atau 8 malam sehari sebelumnya bagi menentukan tindakan perlu diambil pada hari berikutnya.

Katanya JPNPP turut mewujudkan ‘war room’ sejak 13 Ogos lepas untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa keadaan jerebu di negeri ini termasuk berkaitan perkembangan bacaan IPU sebelum pemakluman kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk disampaikan kepada pihak sekolah secara berperingkat.

Mohamad Dziauddin berkata ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana JPNPP mempunyai pasukan khas memantau keadaan jerebu dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan, kesihatan dan keselesaan warga sekolah.

Beliau turut menasihatkan pihak sekolah dan ibu bapa supaya memastikan murid membuat persediaan awal, terutama mereka yang mempunyai risiko mengalami masalah pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata JPNPP sedang menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi kemungkinan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu yang boleh menjejaskan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15), yang dijadual bermula 28 Ogos ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM berhubung persediaan yang perlu dilakukan sekiranya keadaan cuaca dan bacaan IPU bertambah buruk.

“Antara pilihan sedang dipertimbangkan ialah melaraskan jadual pertandingan bola sepak berdasarkan bacaan IPU. Sebagai contoh jika bacaan IPU lebih rendah pada sebelah pagi perlawanan boleh dijalankan pada waktu itu,” katanya.

Mengenai MYJAM15 yang dijangka menghimpunkan lebih 5,000 peserta, Mohamad Dziauddin berkata pertubuhan pengakap kebangsaan dijangka membincangkan langkah awal perlu diambil selain telah menubuhkan bilik gerakan khas bagi memantau serta mengurus situasi jerebu sepanjang program berlangsung.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan MYJAM15 pada 29 Ogos yang akan disertai lebih 5,000 pengakap tempatan dan lebih 450 pengakap antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement