KANGAR: Kementerian Pengangkutan bercadang membina sebuah jeti baharu untuk operasi feri penumpang ke Langkawi sebagai langkah penyelesaian jangka panjang kepada masalah mendapan yang sering berlaku di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata masalah mendapan di kedua-dua jeti tersebut terlalu kerap sehingga menyebabkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM50 juta setiap dua tahun untuk melakukan kerja-kerja pengerukan bagi membolehkan feri penumpang ke pulau peranginan itu beroperasi.

"Saya melihat kedudukan Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis ini sebenarnya terdedah kepada mendapan yang terpaksa kita keruk setiap dua tahun, bermaksud setiap dua tahun kita kena buat pengerukan kerana kedalaman air tidak mencukupi (untuk laluan feri).

"Jadi kementerian sedang memikirkan bagaimana kita nak cari satu lokasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negeri (Kedah dan Perlis) untuk kita menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang, kita sedang bincang dan saya akan umumkan butiran mengenainya nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Institut Maritim Malaysia (MIMA) di bawah Kementerian Pengangkutan sebelum ini pernah membuat kajian mengenai kawasan yang sesuai dibina jeti penumpang di antara Kedah dan Perlis yang tidak terdedah kepada mendapan seperti yang berlaku di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan secara spesifik lokasi tersebut memandangkan kajian masih dilakukan selain kementeriannya menerusi MIMA dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) perlu mengadakan perbincangan berkaitan aspek teknikal dengan pihak lain yang berkaitan.

"Kita akan buat satu keputusan dalam tempoh terdekat dan seterusnya kita akan buat perancangan dan kalau dapat berjalan, kita akan buat pembinaan. Kita sudah ada satu peruntukan dikhaskan untuk Jeti Kuala Kedah, tapi kalau kita buat di Kuala Kedah ia tidak boleh selesai masalah, jadi kena cari satu tempat yang lebih sesuai," katanya.

Wee menjelaskan walaupun jeti baharu itu siap dibina nanti, operasi Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis tidak ditutup dan akan beroperasi bagi tujuan lain termasuk perkhidmatan kargo atau kegunaan nelayan.

Mengulas mengenai kerja pengerukan di Jeti Kuala Kedah, beliau berkata setakat semalam ia telah mencapai 75 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini, manakala kerja pengerukan di Jeti Kuala Perlis berlaku sedikit kelewatan berikutan masalah peralatan dan kekurangan tenaga kerja.

"Ada sedikit kelewatan dari segi kerja-kerja di lapangan (di Jeti Kuala Perlis) dan ia dijangka siap kalau ikut kontrak pun tahun hadapan. Saya telah meminta mereka (kontraktor) untuk tambah alatan. Saya juga sudah mengarahkan supaya JLM untuk kita memantau lebih rapi," katanya.

Terdahulu Wee yang juga Presiden MCA merasmikan Konvensyen MCA Negeri Perlis di sebuah hotel di sini.

-- BERNAMA