Skip to main content

Malaysia

JIM Selangor tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa

71737685406_TBimigresen.jpg
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan penggunaan cap keselamatan palsu menerusi Ops Serkap, semalam.
Advertisement

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan penggunaan cap keselamatan palsu menerusi Ops Serkap, semalam. 

Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Selangor Mohd Khusairi Kamarudin berkata sindiket berkenaan dikesan menggunakan modus operandi terancang dengan menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan utama.

"Siasatan lanjut mendapati setiap pelanggan akan dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum segera dipindahkan ke sebuah rumah transit di sekitar Klang untuk proses pemalsuan dokumen selama satu hingga dua minggu.

"Sepanjang tempoh tersebut, sindiket menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khusairi berkata turut ditahan suspek utama iaitu seorang wanita warganegara India yang memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Spouse Visa) bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut Mohd Khusairi, hasil semakan mendapati wanita terbabit dipercayai telah mendalangi kegiatan haram itu selama kira-kira tiga tahun sebelum berjaya dikesan pihak penguat kuasa.

"Dalam serbuan ini juga sebanyak 12 orang warga asing dari India, Bangladesh dan Sri Lanka masing-masing berusia 25 hingga 40 tahun turut diberkas dan kini ditempatkan di Depot Imigresen untuk tindakan susulan.

"JIM Selangor kini sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Khusairi memberi amaran tegas bahawa sebarang aktiviti pemalsuan dokumen merupakan kesalahan serius yang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi demi memelihara kedaulatan negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement