Skip to main content

Malaysia

JIM tahan 7,043 pendatang tanpa izin, lapan negara catat tangkapan tertinggi

FotoBERNAMA
Jabatan Imigresen Malaysia menahan 7,043 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara yang melanggar akta dan peraturan imigresen bagi tempoh antara 1 Jan hingga 19 Feb lepas. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 7,043 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara yang melanggar akta dan peraturan imigresen bagi tempoh antara 1 Jan hingga 19 Feb lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, bagi tempoh itu, lapan negara mencatat jumlah tangkapan tertinggi, iaitu Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, Thailand, Pakistan, India dan China.

Advertisement

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata secara keseluruhan, JIM melalui Bahagian Penguatkuasaan melaksanakan 1,855 operasi dengan 30,177 individu telah diperiksa. 

“JIM terus komited memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen negara melalui pelaksanaan operasi yang lebih tegas, menyeluruh dan berfokus terhadap warga asing yang melanggar akta dan peraturan imigresen,” katanya.

Berdasarkan jumlah tangkapan itu, Lokman Effendi berkata kesalahan tertinggi direkodkan adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah melibatkan 4,804 kes. 

Sebanyak 1,250 kes direkodkan di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, 806 kes di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, manakala 183 kes lagi melibatkan kesalahan lain.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara konsisten dan berfokus tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video