JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat kematian di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini yang berpunca daripada masalah gangguan bekalan elektrik di hospital berkenaan, semalam.

Pengarah JKNJ Datuk Dr Aman Rabu bagaimanapun mengesahkan berlaku gangguan bekalan elektrik kuasa normal pada pukul 11.10 malam, namun bekalan kuasa penting masih berfungsi sepenuhnya melalui bekalan dari generator.

"Pihak pengurusan ingin memaklumkan tiada kematian yang disebabkan oleh insiden bekalan elektrik terputus ini.

"Tindakan awal pemeriksaan telah dijalankan oleh syarikat konsesi yang mendapati 'air circuit breaker' dalam keadaan 'trip'. Punca gangguan telah dikenal pasti dan kerja pembaikan telah dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Aman berkata kerja penyambungan semula bekalan diteruskan sehingga pukul 9 pagi ini sebelum bekalan elektrik kuasa normal disambungkan semula untuk keseluruhan lokasi pada pukul 9.30 pagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah itu tidak memberikan implikasi besar kepada rawatan pesakit yang berada di Jabatan Kecemasan, 'COVID-19 Temporary Treatment Centre' (CTTC) dan wad.

Dr Aman berkata kebanyakan pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima di hospital itu menggunakan 'oxygen outlet' atau silinder oksigen yang tidak melibatkan penggunaan elektrik.

Beliau berkata untuk wad kritikal lain, seperti di unit rawatan rapi (ICU) dan Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU), peralatan ventilator yang digunakan disambungkan terus ke 'plug essential'.

Terdahulu, seorang pengguna membuat hantaran di akaun Facebook mendakwa menjadi saksi bahawa ramai pesakit di HSI maut akibat terputus bekalan oksigen susulan gangguan bekalan elektrik di hospital itu.

-- BERNAMA