PUTRAJAYA: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha perniagaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengulas apsek teknikal terhadap cadangan atau aktiviti perniagaan di sebuah gua batu kapur di Gombak, Selangor.

Ketua Pengarahnya Datuk Zamri Ramli berkata mengikut prosedur diamalkan dalam cadangan pembangunan fizikal, pihak pemaju perlu membuat permohonan pemajuan kawasan tersebut kepada PBT.

"PBT perlu memohon ulasan teknikal bagi permohonan cadangan pemajuan kepada JMG, yang merupakan satu daripada Agensi Tekninal Negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada isu kebimbangan orang ramai berhubung Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves di Taman Industri Bolton, Gombak, Selangor yang terletak di dalam gua batu kapur itu sepertimana dibangkitkan beberapa kali dalam media tempatan.

Antara isu diutarakan ialah isu keselamatan pengunjung premis, risiko bencana geologi, pemuliharaan fosil di tapak, status kebenaran operasi restoran dan risiko vandalisme.

Selain itu, kewujudan restoran berkenaan dibimbangi menyebabkan gangguan biodiversiti endemik serta isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak tersebut yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp).

Menurut Zamri, sebarang pembangunan di kaki bukit batu kapur perlu merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya Di Sekitar Bukit Batu Kapur dikeluarkan oleh JMG bagi menentukan zon keselamatan di sekitar kawasan tersebut.

Dalam konteks pembangunan geopark, beliau berkata kesejahteraan masyarakat dan penjanaan ekonomi masyarakat setempat merupakan satu daripada elemen yang dapat menambah nilai kepada geopark.

"Bagaimanapun, aktiviti tambah nilai ini perlulah selari dengan konsep pembangunan geopark melibatkan tiga elemen penting iaitu pemuliharaan, pendidikan serta pembangunan secara lestari," katanya.

Beliau berkata JMG menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark negara yang diputuskan untuk dipakai ketika Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 diterjemahkan dalam setiap pembangunan geopark.

-- BERNAMA