JOHOR BAHRU:Kerajaan negeri mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam dilaksanakan secara bersasar di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata PKPB itu dicadangkan hanya dikuatkuasakan di kawasan atau daerah Zon Merah yang mempunyai jangkitan tinggi dan bukannya di seluruh negeri seperti yang dilaksanakan sekarang.

Katanya, syor itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN), pagi Selasa.

"Perkara ini amat penting, supaya perlaksanaannya tidak menjejaskan sektor-sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan yang rendah.

"Selain syor berkaitan PKPB bersasar itu, Kerajaan Negeri Johor turut menyarankan SOP khusus kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembukaan skim ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) dengan pihak Singapura.

"Meskipun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua buah negara adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor telah bersedia dengan kapasiti yang sepatutnya, bagi menjayakan Daily Commuting Arrangement (DCA) seperti yang telah diutarakan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Jelas Hasni, pembukaan skim ketiga ini amatlah penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak bermulanya penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, lapan bulan yang lalu.

"Mesyuarat turut mencadangkan supaya tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air (yang bukan di bawah kategori PCA) untuk hanya menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari, di pusat kuarantin dan rumah masing-masing.

"Semoga saranan-saranan daripada Kerajaan Negeri Johor ini dipertimbangkan dengan kadar segera oleh Kerajaan Persekutuan, demi kebaikan dan kesejahteraan bersama", katanya