Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji cadangan untuk menguatkuasakan peraturan agar semua anggotanya memiliki berat badan ideal di samping mencapai tahap kesihatan fizikal yang tinggi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron berkata cadangan itu memerlukan kajian yang teliti dan JPJ mempunyai perkhidmatan yang pelbagai, justeru keputusan untuk melaksanakannya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"JPJ memerlukan anggotanya untuk berhadapan dengan masyarakat seperti di kaunter dan jalan raya, oleh itu kita akan mengkaji cadangan ini sama ada sesuai dilaksanakan atau pun tidak.

"Saya sentiasa menggalakkan semua anggota kita menjaga kesihatan dan berat badan bagi mencapai BMI (Indeks Jisim Tubuh) yang ideal seterusnya mengadakan latihan tertentu seperti bersukan dalam usaha untuk memastikan mereka mengamalkan gaya hidup sihat untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan program 'Sayangilah Diri Anda' yang merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat pasukan penguat kuasa itu yang berlangsung Bukit Katil di sini pada Selasa dan turut dihadiri Pengarah JPJ Melaka Mohd Fadhil Hassan.

Sementara itu, Nadzri berkata sebanyak 15 peratus daripada calon anggota JPJ didapati tidak memenuhi syarat untuk memohon jawatan sebagai anggota penguat kuasa tersebut.

"Sehubungan itu, kita telah mengingatkan pihak JPJ (yang bertanggungjawab untuk proses ambilan anggota baharu) untuk menilai calon dari sudut fizikal dan kesihatan seperti BMI yang ideal supaya kelihatan lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat.

"Ini kerana ada (dalam kalangan anggota JPJ) yang terpaksa kendalikan senjata...oleh itu kita menginginkan anggota penguat kuasa yang cergas dalam melaksanakan tugas," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai harapan agensi penguat kuasa itu menjelang Bajet 2017, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan proses penyelenggaraan dan usaha menaik taraf fasiliti pelanggan JPJ di seluruh negara dalam usaha memastikan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada pelanggan. - Bernama