PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital sedang berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membawa Memorandum Kabinet berhubung penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Penipuan Nasional di Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membendung penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya kembali kepada JPM kerana Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di bawah jabatan itu adalah agensi yang bertanggungjawab menangani perkara tersebut.

Beliau berkata ini adalah antara langkah bagi menghentikan sepenuhnya penipuan komersial yang semakin meningkat susulan kemajuan dalam teknologi digital dan memerangi penipu.

"Selain itu, kerajaan sedang meneliti kaedah lain yang boleh dilakukan bagi mengurangkan jumlah penipuan dalam talian," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Siber Bersepadu Axiata di sini hari ini.

Fahmi juga berkata kerajaan telah menyekat lebih dua bilion panggilan yang mencurigakan dan lebih 500 juta khidmat pesanan ringkas serupa daripada sampai kepada pengguna Malaysia dengan bantuan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi menangani isu penipuan dalam talian.

Beliau berkata antara punca penipuan dalam talian ialah kebocoran data yang menyebabkan penipu memikirkan helah untuk menjerat pengguna dengan data terbabit.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menunjukkan bahawa lebih 50 peratus kes yang direkodkan setiap tahun adalah terdiri daripada penipuan dalam talian.

Fahmi juga memaklumkan bahawa Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) serta Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) akan memulakan kempen bulan depan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai penipuan dalam talian.

Beliau turut menafikan rebat sebulan bil telefon bimbit bagi September di bawah Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media hanya terhad kepada 1,000 individu terawal di negara ini.

"Ia adalah bagi semua yang mempunyai kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan," katanya sambil menambah jika pengamal media mendapat maklum balas seperti itu, mereka boleh memaklumkan perkara itu kepada beliau bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan segera.

Pada 29 Ogos lepas, Fahmi mengumumkan kira-kira 10,000 pengamal media di seluruh negara bakal menikmati rebat sebulan bil telefon bimbit di bawah Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media sebagai penghargaan kepada 'wira-wira tidak didendang' yang turut membantu memperjelas inisiatif Rahmah di bawah konsep Malaysia MADANI.

-- BERNAMA